Sukan SEA : Malaysia 1-5 Vietnam

Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Pasukan bola sepak Malaysia tewas besar kepada Vietnam 1-5, pada perlawanan kedua peringkat kumpulan B Sukan SEA 2015.

Ketika ramai yang menjangkakan perlawanan bakal menjadi sengit di Stadium Bishan itu dengan status kedua-dua pasukan, Malaysia seakan gagal memperaga aksi sebenar malah ketinggalan 2-0 berakhir babak pertama.

Ditagih bangkit pada babak kedua, gawang Malaysia begitupun mudah dibolosi seawal minit pertama permainan bersambung menerusi Vo Huy Toan dan kerapuhan jentera pertahanan terus dihukum dengan Vietnam menambah gol keempat pada minit ke-53 yang juga gol kedua Nguyen Cong Puong.

Cong Puong pada babak pertama turut meledak jaringan pada masa kecederaan yang juga gol kedua Vietnam manakala jaringan pembukaan diledakkan Mac Hong Quan pada minit ke-14 menerusi penalti.

Gol pembukaan Vietnam terhasil selepas pertahanan negara, Amer Saidin mengasari Do Duy Manh di kawasan penalti dan jaringan itu seakan merobek semangat pemain Malaysia yang jelas tampak pincang di bahagian tengah.

Lebih malang, gol ketiga Vietnam turut terhasil menerusi penalti selepas penjaga gol negara, Mohd Farhan Abu Bakar menjatuhkan Cong Puong di kawasan penalti.

Kehadiran penyerang, Syahrul Azwari daripada bangku simpanan pada babak kedua sedikit menghidupkan jentera serangan Malaysia yang berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-78.

Begitupun, ia tidak menghalang Vietnam untuk terus mengganas dengan meledak gol kelima pada minit ke-79 menerusi pemain gantian, Nguyen Van Toan yang berjaya melepasi perangkap ofsaid dan menguis bola ke gawang Malaysia.

Pada perlawanan pertama Kumpulan B, Malaysia menang 1-0 ke atas Timor-Leste dengan Vietnam menang besar 6-0 ke atas Brunei. Lawan Malaysia selepas ini ialah kuasa besar bola sepak Asia, Thailand, Khamis ini. BHarian

Leave a Reply

%d bloggers like this: