Argentina Julang Piala Dunia Buat Kali Ke-3

Aksi Lionel Messi Menjulang Piala Dunia. Gambar Kirill Kudryavtsev.

Selepas 36 tahun, akhirnya Argentina sekali lagi berjaya menjulang Piala Dunia selepas kali terakhir berjaya melakukanya pada tahun 1986 selepas menewaskan Jerman Barat 3-2 dalam perlawanan akhir. Untuk tahun 2022, Argentina berjaya menjulang piala ini selepas berjaya menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik dalam sejarah Piala Dunia. 

Perlawanan yang dianggap seimbang diatas kertas ternyata berlainan bila diatas padang. Skuad muda Argentina yang penuh disiplin dan bertenaga mula memberikan tekanan seawal perlawanan berlangsung. Hasilnya, Argentina berjaya memperoleh dua gol awal pada babak pertama hasil jaringan Lionel Messi dan Di Maria.

Melihat skuad yang kurang memberikan impak, jurulatih Perancis tekad membuat dua pertukaran awal walaupun belum tamat separuh masa pertama.

Bersambung pada babak kedua, Perancis mula memberikan tentangan menerusi beberapa percubaan berbahaya. Perancis akhirnya berjaya menemui dua gol penyamaan yang cukup berharga menerusi penyerang mereka, Kylian Mbappe. Mbappe berjaya menjaringkan dua gol dalam masa kurang dari 2 minit.

Perlawanan yang terikat 2-2 dalam waktu perlawanan sebenarnya telah memaksa masa tambahaan 30 minit diberikan. Argentina sekali lagi berada dihadapan hasil gol yang dijaringkan oleh Lionel Messi. Mbappe sekali lagi muncul wira apabila menyamakan kedudukan 3-3 sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kegagalan dua pemain Perancis menyempurnakan penalti memberi peluang untuk Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 ini. Ini merupakan kejuaraan ketiga Argentina menjuarai Piala Dunia selepas melakukannya pada 1978 dan 1986.

Untuk rekod, ini merupakan final kedua berturut-turut bagi Perancis. Bagi edisi 2018, Perancis berjaya melangkah keperlawanan akhir dan berjaya menjulang Piala Dunia buat kali kedua selepas berjaya melakukanya pada tahun 1998.

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: