JDT Dan Hokkaido Consodale Sapporo Jalin Kerjasama

Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Dipetik dari BHarian mengatakan bahwa JDT telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan sebuah kelab terkemuka dari Jepun.

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah bagi memperkasakan program pembangunan bola sepak akar umbi apabila mengadakan kerjasama dengan kelab Hokkaido Consodale Sapporo dari Jepun, semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim, menyifatkan kerjasama itu mampu memberi ruang kepada JDT yang kini sudah mula memulakan program pembangunan remaja untuk mendapat pendedahan terbaik dari kelab ternama di Jepun.

“Ketika ini kita sudah mengadakan kerjasama dengan kelab ternama Bundesliga, Borussia Dortmund dan bermula hari ini (semalam) kita mengalih pula ke Jepun memandangkan kelab Hokkaido Consodale Sapporo terkenal dengan program pembangunan.

“Tunku Mahkota Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat menitik berat mengenai program pembangunan akar umbi dan baginda bersetuju bekerjasama dengan kelab dari Jepun itu selepas meneliti dan melakukan kajian mendalam mengenai kelab berkenaan.

“Malah buat permulaan perjanjian kerjasama itu membabitkan program selama lima tahun dan buat masa ini 57 pelajar berumur antara 12 tahun, 15 tahun dan 17 tahun sedang mengikuti program pembangunan dan kesemuanya ditempatkan di Eductiy, Iskandar Puteri.

“Semua pelajar itu juga disediakan tempat tinggal sebelum dipindahkan ke Akademi Bola sepak JDT yang dijangka siap sepenuhnya di Kulai dalam tempoh dua tahun lagi,” kata Ismail.

Turut hadir pada majlis perjanjian kerjasama itu Pengarah Sukan JDT, Allistair Edward, Presiden Hokkaido Consodole Sapporo, Yoshikazu Monomura dan wakil Liga Jepun (Liga-J), Wataru Endo.

Dalam pada itu, Monomura menyifatkan perjanjian itu bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak bukan sahaja membabitkan program pembangunan tetapi juga program pertukaran jurulatih kedua-dua pasukan.

“Akademi bola sepak Hokkaido Consodale Sapporo sudah ditubuhkan sejak 1996 dan sudah melahirkan beberapa pemain ternama dan saya amat berbangga bekerjasama dengan kelab yang terkenal di Asia Tenggara.

“Kita juga merancang mengadakan perlawanan persahabatan antara JDT dan kelab Hokkaido Consadole Sapporo dan ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” kata Monumora.

Sumber : BHarian

You may also like...

Leave a Reply

%d bloggers like this: